Archive for January, 2007

Ancaman krisis bekalan banjir

Wednesday, January 17th, 2007

KUALA LUMPUR 16 Jan. – Mangsa banjir gelombang kedua di Johor bakal berdepan dengan krisis kekurangan bekalan barangan keperluan tertentu jika bantuan tidak disalurkan segera.

Antara yang dijangka teruk terjejas jika bantuan lewat tiba ialah golongan kanak-kanak dan bayi ekoran bekalan barangan seperti susu, baju, lampin dan lampin pakai buang amat berkurangan.

Mangsa-mangsa banjir juga memerlukan barangan penjagaan diri seperti ubat gigi dan berus gigi, tuala, tuala wanita, sabun pencuci, sabun antiseptik dan sabun mandi bagi memastikan kebersihan terjamin untuk menghindarkan penyakit berjangkit.

Pada masa sama, keperluan doktor, jururawat dan pegawai perubatan juga semakin mendesak bagi memberi rawatan kepada mangsa-mangsa yang memerlukan.

Pengarah Pembungkusan, Urusetia Penyelaras Pengurusan Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Azmin Sadik berkata, bekalan keperluan untuk kanak-kanak amat berkurangan sehingga membantutkan penyaluran bantuan kepada mangsa dalam lingkungan umur itu.

Menurut beliau, urus setia itu yang dianggotai JKM dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada mulanya bercadang menyediakan tiga jenis pek bantuan kepada mangsa banjir, masing- masing pek bantuan keluarga, kit penjagaan kebersihan dan pek bantuan kanak-kanak.

Beliau bagaimanapun memberitahu, pek bantuan kanak-kanak yang dirancang gagal dibekalkan kepada mangsa berikutan tidak ada pihak yang menyumbang barangan jenis itu.

“Kami juga amat kekurangan susu tepung, kain lampin, lampin pakai buang dan pakaian-pakaian untuk bayi yang baru dilahirkan.

“Kami berharap orang ramai akan menghantar bantuan berkaitan kepada kami secepat mungkin agar semua sumbangan ini boleh disampaikan kepada mangsa banjir secepat mungkin,” jelasnya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Pembangunan Komuniti JKM, Rahamah Mohd. Baki berkata, pihaknya memerlukan kaunselor bagi memulihkan mangsa yang mungkin mengalami trauma dengan bencana alam itu.

“Selain itu, sukarelawan juga diperlukan untuk membantu mangsa-mangsa membersihkan rumah.

“Mereka yang ingin menghulurkan bantuan atau berminat menjadi sukarelawan boleh menghubungi JKM atau NGO terbabit,” katanya.

Pengarah Direktorat Pengurusan Krisis dan Bencana Biro Keselamatan Negara (BKN), Che Moin Omar pula meminta sukarelawan, organisasi dan NGO yang ingin membantu mangsa banjir khususnya di Johor terlebih dahulu berhubung dengan agensi yang dipertanggungjawabkan menyelaras operasi berkenaan.

Orang ramai yang berminat menjadi sukarelawan boleh mendaftarkan diri melalui cara khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menulis NAMA (jarak) KAD PENGENALAN (jarak) LATAR BELAKANG/PEKERJAAN dan hantar ke 32728.